top of page

Benarkah Kuala Lipis Dahulunya Pusat Pelabuhan Di Pahang?

  • Writer: Khersonese
    Khersonese
  • Jan 20, 2021
  • 2 min read

Awal tahun 2021, warga maya gempar dengan penemuan sebuah kapal kayu bersalut tembaga, setelah surutnya banjir di Kuala Lipis atau lebih tepatnya di Kampung Pagar Penjom. Kapal tersebut yang diyakini berusia hampir 200 tahun, ditemui terdampar di tepi Sungai Pagar.


Menurut seorang penduduk kampung, Mohamad Hafiz Jalaluddin@Mohd Rashid, 41, kapal berkenaan dipercayai tenggelam akibat ditembak berikutan terdapatnya kesan tembakan pada kapal tersebut. Turut ditemui kepingan tembaga yang tertulis Vivian & Sons.




Menariknya, apabila dibuat penelitian, nama tersebut merupakan milik sebuah sebuah syarikat peleburan tembaga pada tahun 1809 sebelum berkembang menjadi sebuah syrikat peleburan terkemuka pada tahun 1820. Syarikat tersebutdipercayai mengalami zaman kejatuhannya pada akhir abad ke-19 dan merosot pada awal abad ke -20. Pada tahun 1924, penggabungan syarikat berlaku dan dijenamakan semula sebagai British Copper Manufacturers Limited yang kemudiannya diambil alih oleh Yorkshire Imperial Metals pada 1926.


Menurut Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata, kapal tersebut berkemungkinan merupakan kapal dagang milik Inggeris atau digunakan oleh pembesar pada zaman tersebut. Setakat 20 Januari 2021, tiada sebarang artifak yang ditemui dalam kapal tersebut melainkan hanyalah serpihan seramik. Tambahan, kapal tersebut dipaku dengan paku tembaga yang seberat 100kg.


Menurut seorang penduduk kampung, penemuan kapal tersebut sekaligus mengungkap pelbagai soalan dari sudut sejarah dan geografi penduduk tempatan mengenai daerah Lipis. Kebanyakan orang-orang terdahulu menyatakan bahawa terdapatnya pelabuhan di Sungai Penjom,yang dipercayai laluan masuk bagi kapal-kapal dan diperkukuhkan lagi dengan adanya lombong emas di Penjom.


Ada juga penduduk tempatan yang mempersoalkan kewujudan daerah-daerah rendah seperti Temerloh dan Maran kerana pada ketika itu, diyakini bahawa kawasan tersebut masih lagi di tenggelami air berbanding Lipis yang merupakan kawasan tanah tinggi.


Masyarakat tempatan semestinya ternanti-nanti akan hasil kajian dari pihak berautoriti kerana mungkin, penemuan ini akan menjadi satu pintu kepada pintu yang lain terhadap perkembangan sejarah Tanah Melayu yang terselindung buat sekian lamanya.


Rujukan:


1) Rosedi, R. (2021, January 15). Kapal bersalut tembaga timbul di Kampung Pagar Penjom. Sinar Harian.


2) Rahman, A. R. A. (2021, January 15). Bangkai kapal ‘timbul’ di Sungai Lipis selepas banjir. Utusan Digital.


3) Kapal bersalut tembaga di Lipis muncul dari abad ke-18. (2021, January 16). Sinar Harian.

Comentarios


Ya no es posible comentar esta entrada. Contacta al propietario del sitio para obtener más información.
Post: Blog2_Post
bottom of page